Thursday, August 2, 2012

FIREFLY TERBANG DARI KOTA BHARU KE SINGAPURA

Syarikat Penerbangan Komuniti, Firefly akan mengembangkan lagi operasinya di Pantai Timur Semenanjung dengan memperkenalkan laluan terbaru Kota Bharu ke Singapura.

Destinasi terbaru itu akan bermula pada 10 Ogos 2012 dengan kekerapan 4 penerbangan seminggu iaitu pada setiap Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad.




Kota Bharu juga dipilih berdasarkan kedudukannya berhampiran pintu masuk utama ke Pulau Perhentian. Ia dijangka dapat menarik ramai pelancong asing dari Singapura untuk melancong ke pulau yang terkenal dengan aktiviti laut seperti skuba diving dan snorkeling itu.


Malaysia Airlines dan AirAsia mengendalikan laluan KLIA - Kota Bharu - KLIA, manakala Firefly turut memiliki laluan lain ke Kota Bharu seperti dari Subang, Pulau Pinang dan Johor Baharu.


Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu mengendalikan 1.1 juta penumpang pada 2011. 



Monday, July 30, 2012

TARAWIH - PERBEZAAN HALUAN





Bismillahirrahmanirrahim…

Alhamdulillah dah 10 hari umat Islam Malaysia menjalani ibadah puasa di Malaysia. Ternyata kehadiran Ramadhan memberikan semangat yang luar biasa kepada umat Islam di dunia untuk mempertingkatkan amal ibadah yang wajib mahupun sunat.

Saya tertarik dengan ibadah sunat yang paling masyur dikalangan umat Islam iaitu solat sunat Tarawih. Ramai yang bertikam lidah akibat perselisihan faham mengenai solat sunat Tarawih.

Sebenarnya, solat Tarawih itu merupakan solat sunat. Maknanya, jika kita dirikan kita akan mendapat pahala, dan jika sebaliknya, tidak pula diberikan apa-apa samada dosa mahupun pahala. Solat sunat ini juga tidak semestinya perlu dilakukan secara berjemaah di masjid atau surau. Namun, pahala berjemaah itu jauh lebih besar berbanding solat sendirian.

Pokoknya perbalahan umat Islam mengenai solat ini ialah dari segi rakaatnya. Rasulullah SAW tidak pernah menetapkan berapa rakaat yang perlu dilakukan dalam solat Tarawih. Malah, Rasulullah menggalakkan umatnya untuk bersolat sunat berterus-terusan tanpa ada batasan. Sebabnya, umat Islam sememangnya digalakan untuk beribadah secara berterusan sepanjang Ramadhan.

Sabda Rasulullah SAW;
“Apabila tiba Ramadhan, pintu-pintu rahmat akan dibuka, pintu-pintu jahannam akan ditutup dan syaitan-syaitan akan dirantai”

Imam Bukhari dan Muslim dalam Kitab Sahihnya merekodkan bahawa Ibnu Umar berkata, Rasulullah bersabda:

Bersolatlah kamu dua rakaat-dua rakaat (berulang-ulang) dan jika kamu bimbang akan terbitnya waktu subuh maka bersolatlah witir satu rakaat sebagai penutup”. 

Pendapat mengatakan, solat sunat tarawih yang diamalkan Rasulullah ialah 11 rakaat termasuk solat sunat witir. Walaubagaimanapun, solat Tarawih 20 rakaat tidak pula ditegah untuk dilakukan. Malah ia sangat-sangat afdal jika seseorang itu mampu melakukan solat Tarawih 20 rakaat.

Disini, pada pandangan saya, jelas sekali kedua-dua kaedah solat Tarawih yang sering diamalkan di Malaysia adalah benar dan sah disisi agama kita. Cuma, yang bersolat 20 rakaat tidak perlu menyindir Jemaah yang bersolat 8 rakaat sahaja.

Hal yang sama juga perlu diingatkan kepada sesiapa sahaja yang melakukan solat Tarawih 8 rakaat. Mereka tidak perlu mempersoalkan Jemaah yang mampu menghabiskan 20 rakaat Tarawih dengan menyatakan hadis serta sunnah yang diamalkan Rasulullah. Sedangkan Baginda sendiri tidak menghadkan jumlah rakaat dalam solat sunat Tarawih kepada umat Baginda.

Disini, terpulanglah kepada sesiapa yang ingin mengaut sebanyak mana pahala Ramadhan yang dijanjikan Allah. Samada berjemaah di sekitar surau atau masjid di kawasan penempatan kita atau di tempat ibadat yang jauh dari kawasan rumah.

Dari segi nilai kemasyarakatan, solat di surau dan masjid di kampung atau kawasan perumahan kita dapat mengeratkan perpaduan sesama masyarakat setempat. Tapi tidak salah jika kita bersolat di tempat lain yang agak jauh dari rumah. Mungkin faktor keselesaan surau atau masjid atau faktor Imam dan mungkin juga faktor kerja.

Dan paling penting, niat kita untuk beribadat kepada Allah. Itu sudah menandakan usaha kita untuk mempertingkatkan amal ibadah. Malaikat sudah mencatat setiap niat dan usaha kita untuk mendekatkan diri dengan Allah.

Ketepikan soal jumlah rakaat, soal imarahkan surau atau masjid di kawasan perumahan, tetapi soalnya adakah kehadiran Ramadan ini akan menghasilkan bibit perpecahan disebabkan soal jumlah rakaat pada solat Tarawih semata-mata?

Apalah kiranya kita sama-sama meraikan perbezaan yang menjadi satu rahmat kepada manusia.  Ia membuktikan keindahan agama Islam itu sendiri yang menyediakan pelbagai sumber pahala kepada umatnya.



Wallahu A’lam.

Friday, July 20, 2012

AHLAN YA RAMADHAN




Bismillahirahmanirrahim...


Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 185;


“(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil). Karena itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur"


Nyatalah, ayat di atas menunjukkan perintah Allah SWT kepada sekelian hambaNya untuk berpuasa di bulan Ramadhan. Namun masih ramai dikalangan umat Islam di Malaysia khususnya yang masih ingkar dengan perintah Allah.

Saban tahun, berita penangkapan oleh pihak berkuasa ke atas masyarakat Islam yang tidak berpuasa didedahkan di dada media elektronik mahupun media cetak. Mengapa hal sedemikian berlaku? Zalimkah perintah mewajibkan berpuasa itu kepada umat Islam?

Sesungguhnya pada saya, Allah itu Maha Mengetahui. Zalim bukanlah sifat Allah. Kenapa kita diwajibkan berpuasa? Sedangkan Allah tahu pelbagai hikmah disebalik berpuasa.

Puasa sebenarnyanya dapat mendekatkan diri kita dengan Allah SWT. Mungkin kita leka dengan hal dunia selama 11 bulan yang lain. Tetapi ambillah peluang dan ruang di bulan yang berkat ini untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Pencipta Alam ini.

Akhlak yang mulia juga dapat dididik di bulan Ramadhan. Kita dilatih untuk berdisiplin sepanjang 30 hari berpuasa. Dengan disiplin yang ada, ia juga mampu mewujudkan ketahanan hati dan jiwa untuk menjadi hamba Allah yang kuat menghadapi godaan iblis dan syaitan laknatullah selepas berakhirnya Ramadhan.

Paling mustahak, puasa dapat menyelami dan memahami penderitaan, kelaparaan dan keperitan orang yang hidup dalam kesusahan. Betapa laparnya mereka, dahaganya mereka dari hari ke hari menjalani liku-liku hidup yang daif.

Sebab itulah juga, pada bulan Ramadhan ini, kita juga diwajibkan mengeluarkan zakat fitrah bagi membantu golongan susah dan fakir miskin Islam. 

Dari sudut saintifik pula, puasa dapat manambahkan kesegaran dan kesihatan pada tubuh, kerana perut yang sentiasa bekerja memproses makanan juga perlu berhenti bekerja buat sementara waktu. Dan ketika berpuasa itu lah perut kita berehat dan mendapat kesegaran semula untuk bekerja kemudiannya. 

Ganjaran pahala pada bulan Ramadhan memang tidak perlu disebut. Masha Allah memang banyak sedangkan Pintu-pintu neraka itu ditutup, maka Allah SWT membuka pintu-pintu langit serta pintu-pintu Syurga kepada sekelian hambaNya.

Firman Allah lagi, dalam surah Al-Qadr ayat 1-5;

“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan.  Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar"

Dan pastinya, Malam Lailatul Qadar menjadi rebutan hamba-hamba Allah yang soleh dan solehah di 10 malam terakhir Ramadhan. Allah janjikan barangsiapa yang mendapat keberkatan pada malam Lailatul Qadar, maka diberikannya ganjaran, nilai serta kemuliaan yang lebih baik daripada 1000 bulan.

Selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam di Malaysia dan di seleruh dunia.

Wallahu A'lam


:D