Bismillahirrahmanirrahim…
Alhamdulillah dah 10 hari umat Islam Malaysia menjalani
ibadah puasa di Malaysia. Ternyata kehadiran Ramadhan memberikan semangat yang
luar biasa kepada umat Islam di dunia untuk mempertingkatkan amal ibadah yang
wajib mahupun sunat.
Saya tertarik dengan ibadah sunat yang paling masyur
dikalangan umat Islam iaitu solat sunat Tarawih. Ramai yang bertikam lidah
akibat perselisihan faham mengenai solat sunat Tarawih.
Sebenarnya, solat Tarawih itu merupakan solat sunat.
Maknanya, jika kita dirikan kita akan mendapat pahala, dan jika sebaliknya,
tidak pula diberikan apa-apa samada dosa mahupun pahala. Solat sunat ini juga
tidak semestinya perlu dilakukan secara berjemaah di masjid atau surau. Namun,
pahala berjemaah itu jauh lebih besar berbanding solat sendirian.
Pokoknya perbalahan umat Islam mengenai solat ini ialah dari
segi rakaatnya. Rasulullah SAW tidak pernah menetapkan berapa
rakaat yang perlu dilakukan dalam solat Tarawih. Malah, Rasulullah menggalakkan
umatnya untuk bersolat sunat berterus-terusan tanpa ada batasan. Sebabnya, umat
Islam sememangnya digalakan untuk beribadah secara berterusan sepanjang
Ramadhan.
Sabda Rasulullah SAW;
“Apabila tiba Ramadhan, pintu-pintu rahmat akan
dibuka, pintu-pintu jahannam akan ditutup dan syaitan-syaitan akan dirantai”
Imam Bukhari dan Muslim dalam Kitab Sahihnya
merekodkan bahawa Ibnu Umar berkata, Rasulullah bersabda:
“ Bersolatlah kamu dua rakaat-dua rakaat
(berulang-ulang) dan jika kamu bimbang akan terbitnya waktu subuh maka
bersolatlah witir satu rakaat sebagai penutup”.
Pendapat mengatakan,
solat sunat tarawih yang diamalkan Rasulullah ialah 11 rakaat termasuk solat
sunat witir. Walaubagaimanapun, solat Tarawih 20 rakaat tidak pula ditegah
untuk dilakukan. Malah ia sangat-sangat afdal jika seseorang itu mampu
melakukan solat Tarawih 20 rakaat.
Disini, pada
pandangan saya, jelas sekali kedua-dua kaedah solat Tarawih yang sering
diamalkan di Malaysia adalah benar dan sah disisi agama kita. Cuma, yang
bersolat 20 rakaat tidak perlu menyindir Jemaah yang bersolat 8 rakaat sahaja.
Hal yang sama juga
perlu diingatkan kepada sesiapa sahaja yang melakukan solat Tarawih 8 rakaat.
Mereka tidak perlu mempersoalkan Jemaah yang mampu menghabiskan 20 rakaat
Tarawih dengan menyatakan hadis serta sunnah yang diamalkan Rasulullah.
Sedangkan Baginda sendiri tidak menghadkan jumlah rakaat dalam solat sunat
Tarawih kepada umat Baginda.
Disini, terpulanglah
kepada sesiapa yang ingin mengaut sebanyak mana pahala Ramadhan yang dijanjikan
Allah. Samada berjemaah di sekitar surau atau masjid di kawasan penempatan kita
atau di tempat ibadat yang jauh dari kawasan rumah.
Dari segi nilai
kemasyarakatan, solat di surau dan masjid di kampung atau kawasan perumahan
kita dapat mengeratkan perpaduan sesama masyarakat setempat. Tapi tidak salah
jika kita bersolat di tempat lain yang agak jauh dari rumah. Mungkin faktor keselesaan
surau atau masjid atau faktor Imam dan mungkin juga faktor kerja.
Dan paling penting,
niat kita untuk beribadat kepada Allah. Itu sudah menandakan usaha kita untuk
mempertingkatkan amal ibadah. Malaikat sudah mencatat setiap niat dan usaha
kita untuk mendekatkan diri dengan Allah.
Ketepikan soal jumlah
rakaat, soal imarahkan surau atau masjid di kawasan perumahan, tetapi soalnya adakah kehadiran Ramadan ini akan menghasilkan bibit perpecahan disebabkan
soal jumlah rakaat pada solat Tarawih semata-mata?
Apalah kiranya kita sama-sama meraikan perbezaan
yang menjadi satu rahmat kepada manusia. Ia
membuktikan keindahan agama Islam itu sendiri yang menyediakan pelbagai sumber
pahala kepada umatnya.
Wallahu A’lam.