Sunday, December 18, 2011

PUNCA INDIVIDU MUFLIS






Dalam tempoh sepuluh bulan pertama tahun 2011, Jabatan Insolvensi mendedahkan lebih 250,000 rakyat Malaysia dikalangan belia berumur bawah 35 tahun diisytiharkan muflis.




Perkara ini sungguh membimbangkan kerajaan kerana ia akan membantutkan program Transformasi Negara bagi melahirkan belia yang berdaya maju. Ini kerana, secara purata pula, 41 orang akan diisytiharkan muflis oleh mahkamah.

Kebanyakan mereka gagal membayar hutang bank terutama kad kredit, pinjaman kereta dan perumahanserta pinjaman peribadi. Tiga punca utama ini membabitkan generasi muda sama ada yang baru memulakan kerjaya atau yang sudah berumah tangga.

Punca Muflis

- Gagal Rancang Pendapatan
- Berbelanja berlebihan
- Gemar meminjam wang


Dalam satu laporan khas, Si pelupa berkesempatan menemubual Azman Hashim, Pengurus Besar Operasi AKPK yang menasihati semua golongan di negara ini agar merancang perbelanjaan bulanan dengan menyediakan perancangan ataupun bajet bulanan.

Ia secara tidak langsung akan membantu individu mengurus kewangannya dengan lebih baik. Beliau juga berpendapat, cara hidup individu juga mempengaruhi perbelanjaannya. Justeru, kita tidak boleh terikut-ikut dengan gaya hidup mewah rakan sebaya jika gajinya hanyalah RM2000 hingga RM3000 sebulan.

Dan pendapat itu turut disokong Afyan Mat Rawi, seorang perunding takaful kewangan. Baginya, penggunaan kad kredit perlu dielakkan oleh generasi muda kerana ramai dikalangan mereka menyalah gunakan kemudahan kad kredit. Ternyata generasi muda kurang berdisiplin dalam menggunakan kad kredit. Justeru, ia perlu dielakkan sebelum melarat.

Menurut Afyan lagi, pinjaman peribadi juga merupakan penyumbang kepada masalah kewangan individu. Ini kerana pinjaman peribadi mempunyai kebaikan dan keburukan.

Afyan menjelaskan, jika individu membuat pinjaman peribadi bagi tujuan membayar hutang kad kredit ia adalah perkara bijak. Namun pendapat ini turut disokong Azman Hashim, jika individu memohon pinjaman peribadi untuk menampung perbelanjaan harian, ia adalah tindakan yang memerangkap diri.

Mereka mengesyorkan agar generasi muda mula berjinak membuat simpanan dan seterusnya digunakan untuk pelaburan dan menambah aset peribadi. Unit trust, takaful, pelaburan emas dan hartanah antara cara terbaik membina aset seseorang.

Namun, apabila diselidik kembali, masalah kewanagan yang mendorong kepada muflis ini bermula sejak seseorang itu belajar di IPT lagi. Ini kerana, tiada pendidikan pengurusan kewangan khusus di peringkat sekolah di Malaysia.

Perkara ini amat mustahak kerana ia akan mendidik anak bangsa kita bijak dalam mengurus kewangan mereka di masa hadapan. Justeru, kedua-dua mereka bersetuju jika kerajaan mengkaji semula sukatan pelajaran di sekolah dan universiti agar pendidikan pengurusan kewangan dapat diselitkan serta diajar di kedua-dua institusi pendidikan itu.

Ia penting bagi mengekang situasi muflis dikalangan generasi muda yang kian parah ini sejak akhir-akhir ini.