Thursday, December 8, 2011

SEJARAH SEGAR SERI PADUKA


Tanggal 13 Disember 2011, sistem raja berpelembagaan Malaysia bakal mengukir satu lagi sejarah segar apabila Sultan Kedah Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah akan dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke 14.

Ini merupakan perlantikan kali kedua Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang Di-Pertuan Agong dan ianya pertama kali pernah berlaku dalam sejarah sistem raja berpelembagaan di Malaysia.

Baginda pernah ditabalkan sebagai Yang Di-Pertuan Agong ke-5 untuk tempoh dari 1970–1975. Manakala Almarhumah Tuanku Bahiyah pula sebagai Raja Permaisuri Agong ke-5.

Semasa pemerintahan baginda ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Menariknya, untuk kali kedua ini, baginda akan bersama anak kepada Allahyarham Tun Abdul Razak pula, Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri.

Sultanah Kedah, Tuanku Haminah pula akan dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke-14. Baginda juga akan menjadi Raja Permaisuri Agong ke-4 dikalangan rakyat kebanyakan selepas Tuanku Bainun, Tuanku Siti Aishah dan Tuanku Nur Zahirah.

Tuanku Abdul Halim akan menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin yang akan tamat tempoh pemerintahan pada 12 Disember ini. Baginda Tuanku Mizan akan kembali memerintah Terengganu sebagai Sultan Terengganu ke-16 bersama Sultanah Terengganu Tuanku Nur Zahirah.