Monday, July 30, 2012

TARAWIH - PERBEZAAN HALUAN





Bismillahirrahmanirrahim…

Alhamdulillah dah 10 hari umat Islam Malaysia menjalani ibadah puasa di Malaysia. Ternyata kehadiran Ramadhan memberikan semangat yang luar biasa kepada umat Islam di dunia untuk mempertingkatkan amal ibadah yang wajib mahupun sunat.

Saya tertarik dengan ibadah sunat yang paling masyur dikalangan umat Islam iaitu solat sunat Tarawih. Ramai yang bertikam lidah akibat perselisihan faham mengenai solat sunat Tarawih.

Sebenarnya, solat Tarawih itu merupakan solat sunat. Maknanya, jika kita dirikan kita akan mendapat pahala, dan jika sebaliknya, tidak pula diberikan apa-apa samada dosa mahupun pahala. Solat sunat ini juga tidak semestinya perlu dilakukan secara berjemaah di masjid atau surau. Namun, pahala berjemaah itu jauh lebih besar berbanding solat sendirian.

Pokoknya perbalahan umat Islam mengenai solat ini ialah dari segi rakaatnya. Rasulullah SAW tidak pernah menetapkan berapa rakaat yang perlu dilakukan dalam solat Tarawih. Malah, Rasulullah menggalakkan umatnya untuk bersolat sunat berterus-terusan tanpa ada batasan. Sebabnya, umat Islam sememangnya digalakan untuk beribadah secara berterusan sepanjang Ramadhan.

Sabda Rasulullah SAW;
“Apabila tiba Ramadhan, pintu-pintu rahmat akan dibuka, pintu-pintu jahannam akan ditutup dan syaitan-syaitan akan dirantai”

Imam Bukhari dan Muslim dalam Kitab Sahihnya merekodkan bahawa Ibnu Umar berkata, Rasulullah bersabda:

Bersolatlah kamu dua rakaat-dua rakaat (berulang-ulang) dan jika kamu bimbang akan terbitnya waktu subuh maka bersolatlah witir satu rakaat sebagai penutup”. 

Pendapat mengatakan, solat sunat tarawih yang diamalkan Rasulullah ialah 11 rakaat termasuk solat sunat witir. Walaubagaimanapun, solat Tarawih 20 rakaat tidak pula ditegah untuk dilakukan. Malah ia sangat-sangat afdal jika seseorang itu mampu melakukan solat Tarawih 20 rakaat.

Disini, pada pandangan saya, jelas sekali kedua-dua kaedah solat Tarawih yang sering diamalkan di Malaysia adalah benar dan sah disisi agama kita. Cuma, yang bersolat 20 rakaat tidak perlu menyindir Jemaah yang bersolat 8 rakaat sahaja.

Hal yang sama juga perlu diingatkan kepada sesiapa sahaja yang melakukan solat Tarawih 8 rakaat. Mereka tidak perlu mempersoalkan Jemaah yang mampu menghabiskan 20 rakaat Tarawih dengan menyatakan hadis serta sunnah yang diamalkan Rasulullah. Sedangkan Baginda sendiri tidak menghadkan jumlah rakaat dalam solat sunat Tarawih kepada umat Baginda.

Disini, terpulanglah kepada sesiapa yang ingin mengaut sebanyak mana pahala Ramadhan yang dijanjikan Allah. Samada berjemaah di sekitar surau atau masjid di kawasan penempatan kita atau di tempat ibadat yang jauh dari kawasan rumah.

Dari segi nilai kemasyarakatan, solat di surau dan masjid di kampung atau kawasan perumahan kita dapat mengeratkan perpaduan sesama masyarakat setempat. Tapi tidak salah jika kita bersolat di tempat lain yang agak jauh dari rumah. Mungkin faktor keselesaan surau atau masjid atau faktor Imam dan mungkin juga faktor kerja.

Dan paling penting, niat kita untuk beribadat kepada Allah. Itu sudah menandakan usaha kita untuk mempertingkatkan amal ibadah. Malaikat sudah mencatat setiap niat dan usaha kita untuk mendekatkan diri dengan Allah.

Ketepikan soal jumlah rakaat, soal imarahkan surau atau masjid di kawasan perumahan, tetapi soalnya adakah kehadiran Ramadan ini akan menghasilkan bibit perpecahan disebabkan soal jumlah rakaat pada solat Tarawih semata-mata?

Apalah kiranya kita sama-sama meraikan perbezaan yang menjadi satu rahmat kepada manusia.  Ia membuktikan keindahan agama Islam itu sendiri yang menyediakan pelbagai sumber pahala kepada umatnya.



Wallahu A’lam.